Ini Pertanyaan PEDAS DS Mukhriz Kepada Najib Razak !!!

Ini Pertanyaan PEDAS DS Mukhriz Kepada Najib Razak !!!SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, beliau tertanya-tanya adakah kerajaan sudah menyempurnakan titah Majlis Raja-Raja mengenai  1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas empat bulan titah itu dikeluarkan.
12509641_1017925258268313_8874447150771411339_n
Ujarnya, jika titah itu tidak disempurnakan beliau gusar akan memberi impak negatif kepada negara.
“Sudah empat bulan berlalu sejak Majlis Raja-raja Melayu mengeluarkan kenyataan mengenai 1MDB di Istana Negara iaitu 7hb Oktober 2015. Kenyataan tersebut menyentuh mengenai keprihatinan Majlis terhadap ‘keresahan dan kebimbangan rakyat apabila kredibiliti dan integriti kerajaan dalam melaksanakan amanah rakyat mentadbir negara’ dikritik.
“Jelas daripada kenyataan tersebut, Majlis melihat bahawa ‘keamanan dan kemakmuran negara yang perlu berlangsung dalam suasana politik yang stabil dan rakyat dapat hidup dalam harmoni’ boleh terjejas teruk dengan kontroversi 1MDB.
“Oleh itu, majlis telah menitahkan semoga siasatan terhadap 1MDB diselesaikan secepat mungkin dan penemuan siasatan dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.
Menggulas lanjut, Mukhriz berkata, setelah empat bulan berlalu adakah Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah patuh kepada titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu melalui Majlis Raja-Raja yang merupakan harapan terakhir bagi rakyat memohon dan merayu perlindungan, lebih-lebih lagi apabila Kerajaan Persekutuan, khususnya Perdana Menteri telah tidak diyakini rakyat.
“Adakah dengan hanya beberapa kenyataan menteri yang dilihat mengkais ketepi titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, dan tiada respon dari perdana menteri sendiri sudah memadai untuk dianggap sebagai jawapan kepada persoalan yang ditimbulkan oleh Majlis? Wajarkah titah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu ditepis sebegitu rupa tanpa apa-apa respon yang beradab dan munasabah,” katanya.
Dalam pada itu, Mukhriz berkata perlu diingatkan bahawa kenyataan Majlis berakar dari cambahan rungutan yang disembah maklum oleh rakyat.
“Majlis tidak akan mengendahkan aduan dan rintihan daripada rakyat jelata itu jika difikir ianya tidak berasas. Jelas sekali, apabila Majlis Raja-raja mengeluarkan kenyataan yang ditujukan khas kepada Kerajaan Persekutuan mengenai 1MDB, ianya bukan sesuatu yang boleh diremeh dan tidak diendahkan,” katanya.
Ujarnya lagi, kini apa yang dapat dilihat ialah perdana menteri seolah-olah langsung tidak menjawab pertuduhan ke atas 1MDB sebaliknya teguh mempertahankan 1MDB.
“Saya sudah dapat lihat betapa titah Majlis Raja-Raja tidak diambil serius oleh Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan, walhal titah itu mencerminkan keresahan rakyat.
“Malah sejak kenyataan tersebut dikeluarkan, tidak ada apa-apa perkembangan yang meyakinkan rakyat bahawa siasatan ke atas isu 1MDB itu berjalan mengikut lunas undang-undang, dan satu kesudahan yang boleh diterima semua akan terhasil.
“Sebaliknya, Perdana Menteri seolah-olah menjadi suara rasmi 1MDB, mempertahan segala tindakan 1MDB, dan cuba mengaburi pandangan rakyat dengan pengumuman-pengumuman tidak relevan seperti pembayaran balik hutang-hutang 1MDB,” katanya.
Ujarnya lagi, kini  soalan yang ada di dalam pemikiran seluruh rakyat Malaysia, beliau dan, mungkin termasuk Majlis Raja-Raja juga ialah apakah yang terjadi kepada berbillion-billion wang rakyat yang telah dipinjam dari cagaran aset negara dan dibelanja oleh 1MDB atas persetujuan dan kelulusan Pengerusi Panel Penasihatnya iaitu perdana menteri sendiri.
“Itulah soalan yang paling utama ditanya berulang-ulang kali oleh semua pihak. Namun begitu, “jawapan” yang diberikan ialah bahawa dalam masa enam bulan lagi semua hutang-hutang itu akan dilangsaikan dengan penjualan saham anak-anak syarikat 1MDB dan aset.
“Apabila soalan pokok tidak dijawab walaupun ditanya berulang kali, dan penerangan yang diberikan (termasuk melalui cetakan buku-buku oleh pihak Jasa) tersasar dari soalan pokok dan cuba mengelirukan rakyat dengan maklumat-maklumat yang tidak relevan, maka mahu tidak mahu terbentuklah andaian bahawa ada fakta dan kebenaran yang hendak disembunyikan oleh DatukSeri Najib,” katanya.
Oleh itu, katanya menjelang Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan berlangsung pada 17 dan 18 Februari 2016 ini, dengan penuh hormat dan takzimnya beliau merayu kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku-Tuanku Sultan dan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri semoga mengarahkan Peguam Negara, Gabenor Bank Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara untuk melaporkan kepada Majlis Raja-Raja mengenai siasatan-siasatan mereka mengenai 1MDB secara telus dan benar tanpa melindungi mana-mana pihak.
“Jika ini tidak dapat dilakukan, atau berlaku campur tangan oleh pihak yang disiasat, atau laporan-laporan yang diterima tidak dipercayai, maka saya merayu kepada Majlis Raja-Raja untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi mendedahkan kebenaran mengenai 1MDB secepat mungkin,” katanya.

Related Posts:

0 Response to "Ini Pertanyaan PEDAS DS Mukhriz Kepada Najib Razak !!!"

Post a Comment