Elakkan provokasi yang tidak diingini dalam sesuatu perhubungan yang mungkin akan mengguris hati pasangan anda.

Hindarkan Provokasi Dalam Rumahtangga

Elakkan provokasi yang tidak diingini dalam sesuatu perhubungan yang mungkin akan mengguris hati pasangan anda.

Sumber Gambar: Hafizudin Hamdan Photography

Dalam satu sesi konsultansi menggunakan chat Yahoo Messenger, seorang isteri menceritakan pengalamannya yang baru diceraikan dengan talak tiga. Menurut si isteri awal 30-an ini, dia diceraikan dengan talak tiga secara tiba-tiba; suami kejutkannya dari tidur (terlelap kepenatan selepas menangis kerana bergaduh dengan si suami) dan kemudian suaminya melafazkan; abang ceraikan N dengan talak tiga. Mudah sangat kan, macam tak percaya! 

Bila saya minta si isteri ceritakan dengan lebih jelas mengenai pertengkaran sebelumnya, klien saya menjelaskan: pertengkaran berpunca daripada keengganan suami untuk turut serta dalam percutian bersamanya dan anak-anak kerana sibuk dengan kerja yang masih banyak dan perlu siap segera. Perbincangan demi perbincangan mencetuskan perbalahan menyebabkan si isteri mencampakkan fail-fail kerja si suami ke luar rumah. Selepas mencampak fail tersebut, si isteri membawa diri ke bilik dan tertidur. Terjaga dengan panggilan si suami, dihadiahkan dengan talak tiga.
Mungkin ada yang terfikir, kalaulah si isteri tak campakkan fail si suami ke luar rumah, mungkin si isteri tak kena cerai talak tiga kan?! Mungkin juga, dah namanya pun 'kalau'! Tapi kalau dah takdir tentukan si isteri diceraikan dengan talak tiga, tak campak fail pun mungkin kena cerai talak tiga juga. 'Mungkin' dan 'kalau' diambil kira mengikut minda kita sebagai manusia. Kita faham dan mengerti segalanya dengan kehendak dan takdir Ilahi. Perlu juga kita faham, biar segalanya ditentukan Allah SWT tetapi sebagai manusia, kita diberikan akal dan nafsu agar menyesuaikan kehendak dengan kewarasan minda. Setiap yang berlaku semestinya mempunyai sebab; takkan berlaku sesuatu tanpa sebab. Takdir bukan alasan yang digunapakai untuk melarikan diri dan meneruskan hidup di atas muka bumi ini.

Kembali kepada kes; insiden si isteri mencampak fail kerja suami ke luar rumah adalah satu provokasi atau ayat mudahnya 'cari pasal'. Provokasi atau cari pasal tak elok untuk rumahtangga. Tak kiralah siapa yang cetuskan provokasi; takkan ada kesan baik yang berlaku melainkan kesan buruk semata-mata. Kalau bukan berlalu cerai pun, pasti pergaduhan kecil akan jadi besar dan huru hara.
Dalam satu kes saya, seorang isteri menggunting semua pakaian seragam suami kerana terlalu marah dengan sikap suami yang selalu sengaja timbulkan semula sikap was-wasnya. Dalam kes ini, kedua-dua suami isteri sering memprovok pasangan, sama-sama mencari pasal; kesannya perkahwinan yang kekal hampir tujuh tahun sentiasa dalam keadaan tidak tenang dan kucar kacir hinggakan anak-anak menjadi takut dengan tindakan provokasi si ibu yang melampau. Hakikatnya, dalam kes kedua ini, si suami memulakan provokasi, memancing kelemahan si isteri tetapi bila isteri turut sama memprovokasi hingga pernah bertindak menghunus pisau ke arah suami, padahnya si isteri hilang hak penjagaan.
Tika saya kongsikan kes provokasi ini dalam Facebook, ada yang berikan pendapat; provokasi timbul sebagai luahan rasa selepas bersabar sekian lama. Baik, saya faham! Tapi anda juga perlu faham dan sedar, luahan rasa sedemikian tidak memberikan kesan yang baik untuk anda. Anda bukan saja akan menerima natijah kehilangan perkahwinan sebaliknya anda mempunyai peluang besar untuk hilang hak penjagaan ke atas anak-anak anda. Ingat! Wanita dicipta Allah SWT dengan satu organ mulia membezakannya dengan lelaki iaitu rahim. Bukan saja sebagai tempat untuk mengandungkan waris keturunan sebaliknya sebagai simbolik kepada tingginya sifat rohim atau penyayang yang wujud dalam diri wanita.
Lelaki pula, terkenal dengan egonya yang tinggi dan memang gemar mencetuskan provokasi kecil bagi memancing emosi isteri. Lantas, sebagai makhluk terkenal lebih penyayang dan sabar, tingkatkan lagi kesabaran anda dengan mempedulikan provokasi si suami. Buat tak tau, jangan dilayan nanti padahnya anda yang alami. Bukan saja jangan layan provokasi suami, anda juga dilarang mencetus provokasi biar secara halus. Apa contoh provokasi halus? Sindiran, cakap lepas dan apa juga luahan perkataan yang tidak disukai oleh suami dan boleh menimbulkan kemarahan si suami. Malah jangan lakukan segala perbuatan yang tidak disenangi suami.
Sebagai contoh, anda tahu suami anda mempunyai teman wanita baru dan mereka sering berkomunikasi menggunakan SMS. Jangan dikacau setiap perbualan mereka menerusi SMS tersebut. Perbuatan anda akan dianggap sebagai mengganggu dan anda akan dibenci. Ingat semula perbincangan saya lama dulu; senyumlah bila tau suami ada orang lain! Kenapa perlu senyum? Senyum untuk tenangkan hati dan fikiran agar anda boleh bertindak rasional. Percayalah! Jika anda kekal rasional, anda akan dapat mengelakkan provokasi dan tidak mustahil, dengan layanan yang ditingkatkan untuk memenangi semula hati suami, anda Berjaya memutuskan hubungan cinta suami dengan orang ketiga.
Yang penting; dalam ada juga keadaan, kekalkan diri dengan sifat rasional, kekalkan minda dalam keadaan waras dan ambil keputusan tika sedang sedar dan tenang dan bukan dalam keadaan marah. Setiap yang berlaku bersebab dan berhikmah kerana Allah SWT tidak akan menganiayai hamba-Nya. Percayalah!

Related Posts:

0 Response to "Elakkan provokasi yang tidak diingini dalam sesuatu perhubungan yang mungkin akan mengguris hati pasangan anda."

Post a Comment